Tv Online

Monday 19 March 2012

Belia Diberi Perhatian Dalam Agenda Transformasi Negara


MELAKA, 17 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada golongan belia terutama berhubung penglibatan mereka dalam agenda transformasi negara bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Timbalan Perdana Menteri berkata penglibatan belia itu dilakukan melalui penekanan kepada aspek pendidikan yang menjadi agenda penting kerajaan terhadap golongan belia.
“Kita sediakan segala kemudahan, tenaga pengajar, kemudahan pendidikan, kurikulum, buku, pakaian dan sebagainya, ini adalah tujuannya tidak lain (dan tidak bukan) adalah untuk menentukan tidak ada golongan muda di Malaysia ini yang terabai ataupun terkeluar daripada arus pembangunan negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan dan dialog belia di sini, hari ini.
Beliau berkata golongan belia harus menguasai ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi sekaligus meningkatkan pembangunan modal insan negara.



Katanya Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi memenuhi sektor pembangunan negara.Muhyiddin berkata kerajaan turut menumpukan kepada aspek pembangunan kemahiran di kalangan golongan belia bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Beliau berkata kerajaan melalui pelbagai institusi termasuk di bawah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia atau pihak swasta telah menganjurkan pelbagai program bimbingan dan latihan kemahiran.Beliau berkata melalui kemahiran tersebut, ia akan membuka peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji lumayan.

Selain itu, Muhyiddin berkata peluang pekerjaan juga diberikan tumpuan supaya masalah pengangguran di kalangan rakyat dapat diatasi.“Di negara kita dari segi keseluruhannya, pengangguran hanya lebih kurang dua peratus sahaja dan kalau diambil kira dengan angka itu, kita sudah mencapai tahap orang kata ‘full employment’ (guna tenaga penuh) iaitu satu tahap di mana tenaga kerja dapat diisi secara menyeluruh,” katanya.Muhyiddin berkata golongan belia juga dijemput mengemukakan idea dan pandangan kepada kerajaan dalam memaksimumkan penyertaan golongan itu dalam pembangunan negara.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri sempat menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh belia yang hadir walaupun menghadapi masalah sakit tekak.

Antara soalan yang dikemukakan termasuk dasar Kementerian Belia dan Sukan yang dikatakan lebih menumpukan kepada bidang sukan berbanding pembangunan belia khususnya di kawasan luar bandar.
Menjawab soalan itu, Muhyiddin berkata program pembangunan belia tidak hanya tertumpu kepada kementerian tersebut malah kementerian lain turut mempunyai dana bagi golongan belia.
“Peruntukan yang terbesar adalah Kementerian Pelajaran, ini juga untuk belia tetapi kita akan lihat bagaimana nak tokok tambah (program pembangunan belia),” katanya.

Hidup Belia! Hidup Anak Muda!